Wednesday 29 January 2014

Coretan rasa cetusan jiwa... Macam best jer....

Wah macam best jer , macam nak bc jer, hahaha... Diri ini bukanlah baik mana pun, namun perjalanan hidup yg ku lalui saban hari membuatkan aku terfikir dan berfikir dimana aku harus memperbaiki kekurangan yg ada dlm diri ini.. Teringat pada satu hadith Rasulullah S.A.W.
Rasulullah S.A.W telah bersabda:
“Apabila manusia mati, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara” iaitu sedekah jariyah ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya ” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Terdetik di hati kecil ini , berapa banyak amal kebajikan yg telah ku lakukan, apakah ada kebaikan yg ku lakukan sesama manusia.., Ya Allah terlalu kerdil ku rasakan diri ini, menitis air mata apabila mengingati saat kematian yg akan menghampiri kita tanpa kita ketahui bila dan di mana dalam keadaan apa kita di jemput..

Selama ini terlalu ramai di antara kita menangisi nasib diri apabila di tinggal kekasih , putus cinta sehingga ada yg sanggup menyalahkan takdir tapi berapa ramai di antara kita yg menangis tatkala sujud menghadap Allah, berapa ramai yang menangis takut akan kemurkaan Allah. Teringat nasihat seorang sahabat kepada saya "Alangkah ruginya hidup menangis akibat gagal bercinta,kecewa dengan hidup ,dan ini semua menguji sejauh mana kebodohan kita tetapi apabila kita menangis dan menyesali akan dosa kita lantas memohon pengampunan dari Nya itu akan lebih menjamin dunia dan akhirat." Ku tanam dalam diri Cintaku pada Allah adalah kerana aku adalah ciptaan-Nya, Cintaku terhadap seseorang itu adalah kerana perasaan yg dicipta oleh-Nya..

Terbitnya kebaikan adalah dari keburukan dan terbitnya amalan adalah dari pengetahuan , Ibarat sekuntum mawar disirami embun pagi lalu disinari sang suria indah bak pelangi , begitulah jiwa murni seorang manusia.
Kecantikan diri hanya seketika akan pudar di mamah usia , tetapi keagungan peribadi terletak pada kesediaan kita untuk memberi bila beruntung, untuk memimpin bila berilmu dan untuk membela bila kuat.

Dalam meneruskan hidup seharian bila kita mampu tersenyum, bersikap lemah lembut maka terdekatlah diri kita dengan segala kebaikan. Kebaikan buat diri kita mahu pun insan di sekeliling kita dan yang pasti bila sikap lemah lembut di sertai dengan tutur kata yang baik akan mendatangkan ketenteraman di hati kita dan hati insan di sekeliling kita..

Semalam merupakan kenangan , hari ini adalah sebuah kenyataan manakala esok adalah satu penantian . Kenangan semalam simpan sebagai pedoman untuk hari mendatang dan kenyataan hari ini hendaklah kita tempuhi dengan tabah tetapi kita juga harus bersedia untuk menghadapi hari esok yg penuh cabaran..Persoalan nya mampukah kita meneruskan kehidupan di dunia yg serba serbi mencabar ini tanpa ilmu dan bekalan agama yg cukup.. Takut hidup kita tersasar dari landasan yg sepatutnya.. Nabi telah berpesan "Tidak akan sesat hidup anak-anak ADAM jika hidup berpandukan sunah Ku & Al-Quran "..
Doa ku "Ya Allah kau peliharalah hati kami dari melakukan keburukan , jauhilah kami dari segala kemungkaran dan kau matikanlah kami dalam agama mu, jadikanlah kami diantara hamba mu yg beramal soleh" Amin..

 

Tuesday 28 January 2014

Bila hati mula berbicara , jiwa pula meluah rasa

Lama saya bertafakur.
Merenung perjalanan hidup. Menghitung setiap apa yang telah dilalui, susah dan senang. Menilai setiap pemberian-Nya, banyak maupun kurang. Menginsafi setiap ketentuan-Nya, gembira maupun berduka. Namun, tetap terpahat keyakinan setiap apa yang berlaku terselit hikmah dan pengajaran.

Demikianlah kekuasaan-Nya. Dia Maha Berkuasa membahagiakan titik akhir kejadian yang kelihatan muram, dan secara tiba-tiba menghilangkan kemanisan pada kejadian yang sepatutnya kelihatan seperti menggembirakan.
Akal manusia, tidak sempurna mana. Tiada upaya meneka dan menafsir apa yang tersirat di sebalik setiap kejadian. Redha dan tawakkal adalah perkataan terakhir setelah penat berikhtiar.
Apa yang dipandang baik oleh manusia tidak semestinya baik pada pandangan Allah SWT. Manakala apa yang dipandang buruk oleh Allah SWT pasti buruk akibatnya pada manusia. Begitu juga apa yang terpandang buruk oleh manusia, tidak selalu buruk dalam pandangan Allah SWT. Sebaliknya apa yang dipandang baik oleh Allah SWT pasti baik untuk manusia. Itulah hakikat yang mesti dipelajari dan difahami. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui segala-galanya.

Tafakur masih lagi panjang berbaki.
Bicara hati pula berbisik perlahan: “Tulislah duhai insan, coretlah kebaikan buat ummah yang nuraninya kelaparan. Setiap kali ada yang menatap dan mengambil manfaat, maka mengalirlah pahala sebagai bekalan.”

Sebarkan kebaikan
Perjalanan kehidupan manusia tidak sama di antara satu sama lain. Setiap dari mereka pasti mempunyai kisah tersendiri yang amat bermakna bagi dirinya. Manakala hanya segelintir manusia berupaya melihat sebahagian perjalanan kehidupannya untuk menerbitkan ibrah dan mencelikkan pandangan hati.

Begitulah jua akan diri ini, jika termampu diungkapkan, setiap episod kehidupan yang dikongsi biarlah dapat menjadi pengajaran dan dapat diambil tauladan. Walaupun menyedari diri tidak setinggi mana ilmunya, jauh dari mampu mengarang kitab, namun coretlah sebaris ayat yang dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang menatapnya.
Mudah-mudahan setelah pergi jasad bergalang tanah, ada jua suatu kebaikan yang ditinggalkan. Tatkala mereka yang tinggal membaca kebaikan itu lalu menyebarkannya, maka jadilah ia amal soleh yang tersimpan disisi-Nya. 

Imam Muslim, Imam Nasaie dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir Bin Abdullah :
"Sesiapa yang membuat sesuatu yang baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya pahala dan juga pahala seumpama orang yang melakukannya tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun, dan sesiapa yang membuat sesuatu yang tidak baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya dosa dan juga dosa seumpama orang yang melakukannya selepasnya tanpa dikurangi dosanya sedikitpun."

Sekadar berbicara , meluah rasa

Assalammualaikum, salam sejahtera semua... sudah terlalu lama saya tak update apa-apa berita di blog, kesibukan kerja membuatkan saya hampir terlupa pada blog ini.. Alhamdulillah hari ini saya di beri sedikit ruang dr kekangan masa kerja untuk update sesuatu di blog ini... Masih tidak terlambat untuk saya ucapkan Selamat tahun baru pada semua... Semoga tahun ini menjadikan kita antara mereka-mereka yang berjaya dan hebat ..

Hari ini saya nak kongsi , cerita , cara atau apa sahaja yg kita gelar..
Bagaimana nilai-nilai Akhlak Mulia membentuk kecemerlangan diri, pasti ada yg bertanya apa kena mengena akhlak dalam membentuk kecemerlangan diri.. Saya bukanlah hebat tetapi pengisian ini juga untuk saya dan anda semua muhasabah diri dan sekurangnya menjadi pemangkin kepada kita untuk kita bina kecemerlangan untuk diri kita dan org lain..



NILAI-NILAI AKHLAK MULIA MEMBENTUK KECEMERLANGAN DIRI
1. MUKADIMAH
Manusia dalam mengharungi hidupnya, tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran dan ia pasti ditempuhi oleh setiap umat manusia di dunia ini, maksudnya selagi ada cabaran hidup, maka selagi itulah manusia akan belajar daripadanya.
Hal yang demikian, tentulah manusia mempunyai kehendak dan keperluan untuk mengatasinya dengan berusaha mendorong dirinya untuk melakukan sesuatu kebaikan. Sebab itu, manusia yang mempunyai ilmu yang berpaksikan iman dan kejujuran lebih kuat potensi kecemerlangannya, berbanding dengan mereka yang cetek akal pemikiran serta tidak bermoral.
Justeru, kecemerlangan yang ada pada diri seseorang itu adalah meliputi pelbagai aspek, kerana ia berkaitrapat dengan soal nilai serta perbezaan-perbezaan yang wujud pada diri manusia itu. Jadi, bentuk kecemerlangan seseorang itu adalah tidak sama corak kecemerlangannya dengan individu-individu yang lain, kerana ia berkaitan dengan soal kualiti yang memungkinkan menjadi ukuran terhadap darjat kecemerlangan seseorang itu.

2. KONSEP
Sebelum memperkatakan beberapa perkara, maka aspek-aspek nilai, akhlak, kecemerlangan, perlu diperjelaskan maknanya agar mudah nanti ia dikaitkan dengan beberapa aspek seperti pemikiran, ilmu, kepimpinan, budaya dan sebagainya.

NILAI boleh diistilahkan sebagai sesuatu yang diingini dan dihargai. Jadi nilai dalam pengertian ini berkaitrapat dengan falsafah nilai. Ia sesuatu yang dilakukan oleh manusia yang berperanan sebagai kayu pengukur (standard) kepada apa pun juga yang dilakukan oleh manusia, yang diingini dan dicita-citakannya, mahupun yang dilihat, didengar, dirasa – sesuatu yang dialaminya melalui pancainderanya.
Nilai juga menunjukkan arah, menjadi penentu dalam membuat pilihan atau tindakan.

Pada keseluruhannya, nilai membentuk peribadi atau tingkah laku seseorang. Nilai-nilai yang diterima oleh sebahagian besar masyarakat, yang disepakati sebagai nilai-nilai yang mencerminkan kemahuan masyarakat itu, menjadi nilai bersama dan disusun mengikut keutamaannya

Sementara itu, AKHLAK ialah sesuatu yang merupakan kesedaran dari dalaman (Mustapha Haji Daud, 1994:33). Dalam diri manusia itu yang sesungguhnya tiada satu ruang yang terlepas daripada perhitungan akhlak termasuk dalam mengukur kecemerlangan seseorang itu. Jadi akhlak mulia tidak terbentuk tanpa ada usaha-usaha yang konkrit. Akhlak mulia juga tidak terbina seandainya langkah-langkah yang diambil kearah pembinaannya terpisah daripada agama. Untuk melahirkan akhlak yang mulia, tiga gabungan ini sangat perlu iaitu, iman dan amal (Dr. Sulaiman Masri, 1996:9).

KECEMERLANGAN bermaksud apabila seseorang itu dapat menyiapkan kerjanya dengan baik dan lebih awal daripada masa yang telah ditetapkan, dia dianggap cemerlang. Tahap kemerlangan diri antara manusia tidak sama, ia bergantung kepada daya kenal dirinya dan bagaimanakah dia memanfaat atau menggunakan bakat dan pengetahuan yang ada pada dirinya. Jadi kecemerlangan diri ini sama dengan kehebatan diri. Jika seseorang dapat melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh seseorang yang lain, maka orang itu dianggap mempunyai kecemerlangan diri atau kehebatan diri (Ibid, 1996:27). Maknanya, kecemerlangan seseorang itu adalah mengikut tahap dan kaedah yang ditentukan untuk mengukur kecemerlangan ini berdasarkan jenis dan bentuk tahap kecemerlangan terhadap kebolehan dan pencapaian masing-masing.


3. PRINSIP KEJAYAAN/KECEMERLANGAN
Jika diadunkan konsep tersebut ia dilihat dapat memudahkan perbincangan ini dalam konteks prinsip kejayaan dan sebaliknya iaitu dalam suasana pro dan kontra. Kita mula membincangkan perkara ini bahawa manusia itu sendiri memperolehi kejayaan kerana usaha-usaha yang dilakukan berpaksikan iman dan akhlak yang mulia. Namun terdapat juga manusia yang terumbang ambing dalam kehidupan tanpa mencapai sesuatu yang bermakna. Malahan terdapat sedikit sahaja menggunakan potensi yang ada pada diri mereka, tetapi lebih mengamalkan sikap dan tabiat yang merosakkan diri sendiri. Namun demikian, kejayaan seseorang itu boleh dikaitkan dengan keperluan dan keinginan seseorang itu. Kepuasan bagi seseorang itu akan menganggap ia merupakan suatu nikmat kejayaan. Tetapi bagi hierarki Maslow bahawa kejayaan akan hanya tercapai apabila keperluan sesorang itu dipenuhi seperti berikut (Mahmood dan Sabitha, 1996:25);

a. Kehendak jasmani (physiological needs)
b. Kehendak Keselamatan (safety needs);
c. Kehendak Sosial (affiliation needs);
d. Kehendak kepada penghormatan (esteem needs); dan
e. Kehendak kesempurnaan diri (self actualization needs)

Persoalannya, adakah kehendak dan keinginan itu suatu kejayaan yang boleh membentuk kecemerlangan diri? Namun ia dilihat belum berupaya dikategorikan sebagai sesuatu yang cemerlang, kerana kejayaannya semata-mata melihat tabiat manusia dari segi luaran dan berasaskan perilaku zahirnya (Yusof Mohamad, 1989:19). Justeru itu, keperluan manusia hendaklah diasaskan dari aspek nilai serta akhlak yang mulia bagi membolehkan kejayaan itu sesuatu yang diredai berkonsepkan ilmu, iman dan amal.

Maknanya, kalau aspek tersebut tidak dipadukan dengan konsep ilmu, iman dan amal, maka akan menyebabkan kebanyakan manusia akan menjadi egoistic atas kejayaan itu. Sebab itu, kejayaan seumpama itu sesuatu yang sebenarnya belum dianggap cemerlang.

Walau bagaimanapun menurut sesetengah pendapat bahawa sesuatu kejayaan itu tidak datang bergolek dan ia juga tidak bergantung kepada kecerdasan dan kelulusan akademik atau nasib, tetapi suatu kejayaan yang ditakrifkan sebagai pencapaian sebarang matlamat yang berfaedah secara HALAL DAN JUJUR.

Apabila dikatakan kejayaan sebagai sesuatu halal dan jujur, maka kejayaan itu akan menjadi cemerlang bila mana seseorang itu mampu menghargai diri (seft esteem) atas kecemerlang yang diperolehinya, kerana harga diri merangkumi perasaan kompetens diri dan nilai diri. Justeru, harga diri adalah prasyarat kepada tingkahlaku produktif serta kebahagian hidup kerana ia membentuk sebahagian besar personaliti dan keterampilan seseorang.

Dengan kata lain harga diri member kuasa dalaman kepada individu memburu kejayaan dan mengptimumkan kejayaannya. Hal ini mudah terdorong apabila nilai dan akhlak mulia sudah menjadi kemestian terhadap amalan dalam kehidupan seharian. Pertanda-pertanda lain yang boleh diekploitasikan ialah tentang kemahuan dan keinginan dalam konteks arah tuju yang jelas, penumpuan kepada kekuatan dan bakat seseorang, bersedia melakukan sesuatu bagi mencapai matlamat hidup, ketabahan hati, hubungan kemanusiaan yang baik, disiplin diri, fleksibiliti, keperibadian yang teguh yang bercirikan amanah, jujur dan kebolehpercayaan dan pembaharuan diri dan penambahbaikan yang berterusan dengan demensi utamanya seperti pembaharuan mental, fizikal, sosial dan rohaniah.

Semua keadaan ini wujud pada diri manusia, tetapi sejauh manakah ia dapat dihasilkan dengan cemerlang dalam erti kata yang sebenarnya, maka ia hendak diikat dengan kekuatan akhlak yang baik. Apa sahaja yang dipertontonkan kepada orang ramai akan menjadi contoh teladan “ROLE MODEL” yang penting ialah niat kita terhadap amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita.



4. PEMIKIRAN
Seseorang yang mahu cemerlang perlu mempunyai pemikiran yang positif iaitu berani berusaha untuk mencapai sesuatu yang cemerlang, maksud brani disini bukan diukur dari aspek kekuatan fizikal, tetapi berani kerana wujudnya suatu makenisme atau benteng dalaman yang disebut sebagai nilai-nilai akhlak yang mulia. Tetapi sesuatu yang malang ialah sesetengah orang apabila membuat sesuatu kerja. Misalanya, kerja di pejabat walaupun dianggap sebagai rutin semata-mata tetapi kerja itu dilaksanakan dengan tidak menggunakan akal dan fikirannya, maka berlakulah kesilapan dan tidak bernilai dan tidak kreatif. Maka, jadilah kerja itu sesuatu yang tidak ada pembaharuan, pemikirannya tidak didorong oleh akal dan akhlak yang baik.

Sepatutnya, apa sahaja yang hendak lakukan, kita amat perlu menggunakan daya pemikiran sebelum melakukan sesuatu pekerjaan supaya setiap pekerjaan itu akan menghasilkan sesuatu kejayaan dan ia dilakukan bersungguh-sungguh tidak mustahil usaha itu akan berjaya. Hadis Rasulullah S.a.w. menjelaskan;

“Berfikir olehmu sesaat, lebih baik
Daripada kamu solat seratus hari”

Berfikir secara yang positif (berpandukan nilai akhlak yang mulia), maka ia sesuatu yang akan mempengaruhi sikap, kepercayaan, tingkah laku dan perbuatan seseorang itu untuk melakukan sesuatu yang baik. Sesuatu yang baik itu sentiasa memikirkan soal kejayaan dalam apa juga bentuk pekerjaan yang dilakukan. Namun demikian, seandainya seseorang itu tidak menggunakan daya fikiran yang baik, maka keadaan tersebut dapat diterjemahkan melalui sikap dan tingkah laku seseorang itu.

Jadi, maknanya kalau seseorang itu berilmu, tetapi tidak menggunakan akal fikiran (berakhlak mulia) untuk melaksanakan pekerjaan, maka sudah pastinya tidak ada apa-apa yang diperolehinya hasil daripada pekerjaan itu. Sebab itu, pentingnya kesepaduan pemikiran dan ilmu dilihat sebagai sesuatu yang menghasilkan kejayaan yang berterusan.

Namun demikian, seorang itu bukan setakat pintar bertindak kerana kepintaran belum cukup menentukan kejayaan, tetapi menurut Ainon & Abdullah dalam buku Teknik Berfikir mengatakan bahawa kita perlu mahir berfikir, maksudnya sebagai pemikir tentu mampu menilai idea sebelum membuat keputusan dan orang yang berfikir biasanya akan mencari kekurangan, kelemahan, kecacatan, risiko dan bahaya idea tersebut dan keadaannya lagi akan bertambah lagi mantap sekiranya kemahiran itu diadunkan dengna kekuatan iman dan amal sesungguhnya itu.

5. ILMU
Masalah kegawatan yang dihadapi oleh kerajaan masa kini ialah tentang masalah gejala sosial di kalangan para remaja yang kalau tidak dibendung akan merosak bangsa, agama dan Negara.

Persoalannya, adakah kita akan terus membiarkan masalah ini berlaku? Tentu sekali tidak. Ini berkait rapat dengan soal akhlak, kerana ilmu yang tidak dijaga dengan kemuliaan ilmu yang berasaskan iman akan membawa kepada keruntuhan akhlak, kerana pengertian ilmu sendiri itu sesuatu subjektif, yang boleh dikategorikan sebagai ilmu yang mengikut amalan bidang ilmu masing-masing, tetapi yang amat berat ialah apabila sesuatu ilmu itu tidak sesuai dan bertentangan dengan nilai sejagat.

Dalam hal ini kita perlu melihat ilmu yang bagaimanakah perlu menjadikan ukuran kepada kecemerlangan seseorang itu. Kerana apabila seseorang itu mempunyai nilai diri atau harga diri, maka ia dapat mengukur kebolehan ilmunya untuk sentiasa terus cemerlang. Misalnya, mengecap kebahagian rumahtangga, seronok dalam pekerjaan, menghormati jiran, hormat kepada kedua ibu bapa dan sebagianya. Semua ini merupakan suatu kebolehan dan dianggap juga ilmu. Ilmu itu ada dimana-mana terpulang kepada kita memanfaatkannya.

Ilmu tidak semestinya diperolehi daripada Pengajian Tinggi, tambahan pula kalau seseorang itu tidak berakhlak mulia, maka ilmu yang diperoleh itu tidak sampai ke mana. Sedangkan ilmu itu mungkin sesuatu yang amat bermanfat kalau ia disumbangkan dengan cara dan kaedah yang betul. Maka apa juga yang memberi manfaat kepada umat manusia, maka tindakan serta pengalaman-pengalaman yang membawa kebaikan dan kejayaan, maka ia juga disebut selagi digunakan sebagai panduan kepada yang lain.

Justeru, golongan remaja hendaklah mempersiapkan diri mereka dengan ilmu yang boleh mendatangkan faedah secara langsung kepada diri mereka dan masyarakat. Jadi, maknanya, dalam menimba ilmu ini mereka mesti lakukan apa patut yang mereka lakukan dengan penuh rasa tanggungjawab. Mereka yang berakhlak mulia ialah apabila mereka menuntut ilmu mereka seronok dengan apa yang diusahakan dan mereka tidak menganggapnya sebagai suatu beban (Dr. Sulaiman Masri, 1996:6-7).

Sebenarnya ilmu yang tidak dapat membantu membentuk sahsiah atau keperibadian seseorang itu, maka ilmu itu adalah dianggap sia-sia. Kejayaan dan kecemerlangan diri dalam sesuatu ilmu itu mampu ditonjolkan apabila seseorang itu berpegang kepda soal nilai dan akhlak yang terpuji, kerana ilmu yang dituntut dan sesuai dengan keperluan akan membentuk peribadi luhur. Sebab itu dalam menjanakan wawasan 2020 Dr. Mahathir Mohammed mengatakan ia perlu melalui pelbagai cabaran. Antara cabaran perlu dilalui ialah tentang nilai moral, etika dan kasih sayang.

6. KEPIMPINAN
Menurut perspektif barat bahawa secara keseluruhannya member gambaran bahawa pemimpin dan pengikut mempunyai peranan dan status yang berbeza iaitu seorang pemimpin perlu sentiasa berada di hadapan. Namun demikian, dari perspektif Islam, pemimpin dan yang dipimpin adalah berasal daripada jiwa yang satu (Dr. Mohd. Shahwahid Hj. Othman, 1990:35).

Selain itu, menurut persektif Islam bahawa pemimpin mesti dipimpin oleh iman, ilmu dan amal (nilai-nilai akhlak mulia). Maknanya pemimpin yang dipimpin oleh sifat di atas akan terjerumus melakukan perbuatan jahat. Menurut Ibn Taimiyah bahawa kepada mereka yang tidak dipimpin oleh iman, ilmu dan amal bahawa dia akan dikuasi oleh sifat tamak yang akan melahirkan dua kesan iaitu kikir dan dengki.

Bagaimana harus pemimpin itu mencapai tahap kecemerlangan kalau sifat itu menjadi tabiat dan amalanya. Bukan sahaja ia menzalimi dirinya sendiri bahkan akan berlaku zalim kepada masyarakat yang dipimpinnya. Sebab itu, menurut Islam bahawa setiap manusia yang dijadikan oleh Allah Swt. di muka bumi ini ialah Khalifah Allah iaitu sebagai pemimpin untuk mentadbir dunia ini. Ukuran pemimpin bukan terletak kepada kuasa, pangkat, kelayakan, darjat dan sebagainya, tetapi terletak kepada amal soleh dan keimanannya.

Makanya, nilai-nilai akhlak yang mulia patut diamalkan oleh setiap pemimpin kerana tanpa wujudnya nilai tersebut selalunya akan berlaku kerisis kepimpinan sebagaimana menurut Prof. Syed Muhammad Nquib Al-Attas dalam bukunya, Islam dan Secularism dalam (Ibid, 1991:37) mengatakan wujudnya ketidak cemerlangan umat Islam suatu ketika adalah disebabkan; kekacauan dan kekusutan dalam memahami konsep ilmu, kehilangan adab dalam masyarakat (tidak mempunyai akhlak) dan melahirkan pemimpin palsu yang berkuasa yang tidak layak dari segi ilmunya, yang rendah moralnya dan kotor rohaninya.

Secara umumnya seorang pemimpin yang bersertakan kewujudan nilai akhlak yang mulia dakan sentiasa mengahasilkan kecermalangan dalam sesuatu organisasi kerana ia sebagai PENCETUS, PENGGERAK, PENDORONG DAN PEMBIMBING kepada organisasi serta akan menjalankan perhubungan yang baik. Sebab kalau seseorang pemimpin yang tidak berakhlak akan menimbulkan sedikit sebanyak masalah yang akan mengancam produktiviti organisasi itu. Justeru, tingkahlaku dan perbuatan yang sedemikian itu akan merosakkan prinsip kepimpinan.

Apa tah lagi kalau ia seorang yang suka bangga diri dan mempunyai sikap menyalahkan dan memperkecilkan kebolehan orang lain serta mempunyai tabiat suka menuding jari apabila bercakap dengan orang lain, terutama apabila bercakap dengan ahli-ahli dibawah kawalannya.

Pemimpin sedemikian merupakan kedekut dalam pelbagai aspek termasuk kedekut ilmu. Hanya memikirkan kepentingan diri sendiri, walaupun orang lain atau ahli-ahlinya terpaksa menanggung beban semata-mata patuh kepada arahan. Menurut Dato Fadilah Kamsan pemimpin yang sedemikian rupa adalah manusia yang mempunyai PEMIKIRAN KEDANA (Small Of Mind) antaranya mempunyai ciri-ciri atau kegemaran suka merendahkan orang lain sedangkan dirinya tidak sehebat mana.

Sebagai asas dan paduan bahawa nilai-nilai akhlak yang mulia, akan membentuk kualiti pemimpin yang cemerlang. Misalnya seperti berikut;

a) PENYAYANG
Prihatin terhadap kebajikan orang lain;

b) BERSEMANGAT
Mempunyai perasaan positif dan tenaga mutlak untuk memcapai kemenangan;

c) SIKAP
Mempunyai fikiran yang positif terhadap idea, perkara, masyarakat dan alam sekililing;

d) DISIPLIN
Berupaya untuk mengawal perasaan dan tindakan;

e) ETIKA
Berpegang kepada keadilan;

f) BERTANGGUNGJAWAB
Bersedia untuk menyelasaikan sebarang masalah dan bertanggungjawab terhadap hasilnya;

g) KEIKHLASAN
Mengekalkan ketulusan dan kesetiaan di dalam segala percakapan dan perbuatan;

h) HARAPAN
Mempunyai kepercayaan atau keyakinan yang segala-galanya Berjaya;

i) INISIATIF
Berupaya untuk menerima, membina dan member idea atau perubahan;

j) KESUNGGUHAN
Komited secara menyeluruh dan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat


7. BUDAYA
Konsep kebudayaan seperti yang ditakrifkan dalam ilmu kemasyarakatan adalah amat luas maknanya. Seorang ahli antropologoi Barat mendefinisikan kebuayaan sebagai “keseluruhan yang kompleks yang antaranya termasuk pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasulia, undang-undang, moral, adat resam dan segala kebolehan dan tingkahlaku manusia yang diwarisi oleh manusia sebagai ahli bagi suatu masyarakat”. Dalam lain perkataan ia meliputi keseluruhan cara hidup (Dr. Wan Hashim Hj. Wan The, 1984:19).

Pada asasnya, budaya ialah sesuatu yang lahir dari fikiran manusia dan dibentuk dengan cara sedar atau tidak sedar. Ia adalah ciptaan intelek yang bertujuan dan menyusun peraturan hidup secara sistematik dalam bentuk system undang-undang, adat resam, adat moral serta juga melahirkan teknik baru atau rekacipta untuk manusia memnuhi kehandak rohani dan jasmaninya (Ibid, 1984:19).

Daripada pernyataan di atas jelaslha budaya itu suatu gagasan untuk dijadikan panduan hidup dan membentuk hubungan masnia menerusi norma dan nilai yang unggul, dan jika dipadukan dengan penghayataan ilmu, iman dan amal dan akan membentuk pengamal budaya yang cemerlang dan member manfaat, bukan sahaja kepada dirinya, bahkan kepada keluarga, masyarakat dan Negara. Tetapi, sesuatu yang amat menyediah apabila konsep budaya itu diselewengkan dengan membentuk pelbagai cara hidup yang merosakkan akhlak dan moral hanya semata-mata untuk memenuhi keperluan diri yang sia-sia. Misalnya, apa yang berlaku sekarang ini seperti budaya lepak, budaya sek bebas, budaya penagihan dadah, bohsia, budaya samseng dan sebagainya.

Hal ini berlaku adalah kerana kurangnya didikan agama dan moral terhadap anak-anak. Apabila kurangnya benteng keimanan, maka para belia amat mudah terpengaruh oleh gejala tersebut. Sepatutnya untuk menjadi belia yang cemerlang bukanlah suatu perkara sangat susah untuk dicapai, ia bergantung kepada kemahuan dan dorongan.

Apakah kita perlu mengorbankan generasi belia hari ini demi sesuatu kepentingan yang mengaibkan. Persoalan-persoalan ini sesuatu yang amat perit dan perlu diketepikan. Bagi kita ialah bagaimana kita harus membina budaya cemerlang yang berasaskan nilai dan akhlak yang mulia.

Misalnya, membentuk budaya bersaing, budaya ingin maju, budaya rajin dan sebagainya. Bermakna kalau budaya-budaya positif ini menjadi amalan kepada setiap umat manusia. Makanya, mereka akan sentiasa berfikir untuk mencapai kejayaan dan bentuk kecemerlangan diri dengan mengamalkan kepercayaan, sikap dan tingkahlaku yang positif.

Dalam apapun keadaan, kejayaan dan kecemerlangan akan dapat digarap dalam satu budaya yang mendorong ke arah perbuatan-perbuatan keabaikan dan mengajak manusia dalam pembentukan akhlak yang berteraskan ilmu, iman dan amal. Sesuai dengan hadis Rasulullah Saw. Yang bermaksud;

“Tiada seorang ayah yang memberikan
Anak satu pemberian yang lebih baik
Selain adab (akhlak) yang mulia.”

Sebenarnya, kalau kita melihat kepada konsep budaya itu, sepatutnya ia boleh membentuk satu orientasi yang unggul, bukan sahaja memikirkan urusan keperibadian, tetapi lebih memikirkan kecemerlangan kelompok dalam satu baudaya yang menjadi pegangan dan nilai terhadap setiap umat manusia.
Tetapi pada hari ini, pengertian tersebut telah disalah gunakan kerana memikirkan kepentingan budaya untuk tujuan dan keperluan tertentu.

Dalam konteks negara kita yang mempunyai amalan budaya yang berbagai-bagai, ia bukanlah satu halangan untuk mencapai perpaduan, walaupun globalisasi budaya barat sentiasa mengambil peluang dan ruang terhadap kelemahan kita. Oleh itu perlu ada semacam pengawasan sama ada ancaman itu datangnya dari luar atau dalam negara iaitu dengan membentuk nilai dan akhlak mulia terutama kepada golongan remaja. Selain itu, memberi didikan agama, supaya akhlak mereka terbina dengan memberi pendekatan; taat kepada Allah, taat kepada Rasul, taat kepada kedua ibubapa, taat kepada guru dan taat kepada ketua.

8. KESIMPULAN

Kesimpulannya, bahawa manusia mempunyai kehendak dan keperluan yang berbeza-beza, maka kejayaan yang diperolehi bergantung kepada keinginan dan keperluan tersebut, tetapi goalnya sama iaitu untuk mencapai kejayaan, kejayaan itu sendiri adalah asas kepada kecemerlangan diri. Untuk mencapai matlamat itu hanya mampu di terokai oleh mereka yang betul-betul mempunyai nilai-nilai akhlak yang mulia yang disepadukan dengan ilmu, iman dan amal.

Sebenarnya, manusia mempunyai keinginan-keinginan yang tidak ada batasnya. Sebab itu, kalau seseorang itu tidak mempunyai pengawalan dari aspek nilai dan akhlak yang mulia, maka tidak hairanlah manusia sentiasa berada dalam keadaan krisis yang berterusan, melainkan kepada umat manusia yang mempunyai ilmu, iman dan amal adalah kuasa terhadap pengawalan diri yang disifatkan sebagai manusia berjaya dan cemerlang dalam hidupnya.